Empat Jenis Manusia Dalam Dunia ... Syeikh Abdul Qadir Al- Jailani
1. Mereka yang tidak ada lidah dan tidak ada
hati.
Mereka ini ialah orang-orang yang bertaraf
biasa, berotak tumpul dan berjiwa kerdil yang tidak mengenang Allah dan tidak
ada kebaikan pada mereka. Mereka ini ibarat melukut yang ringan, kecuali mereka
dilimpahi dengan kasih sayang Allah dan membimbing hati mereka supaya beriman
serta menggerakkan anggota-anggota mereka supaya patuh kepada Allah.
Berhati-hatilah supaya kamu jangan termasuk dalam
golongan mereka. Janganlah kamu layan mereka dan janganlah kamu bergaul dengan
mereka. Merekalah orang-orang yang dimurkai Allah dan penghuni neraka. Kita
minta dilindungi Allah dari pengaruh mereka. Sebaliknya kamu hendaklah cuba
menjadikan diri kamu sebagai orang yang dilengkapi dengan Ilmu Ketuhanan, Guru
kepada yang baik, Pembimbing kepada agama Allah, Penyampai dan pengajak kepada
manusia kepada jalan Allah. Berjaga-jagalah jika kamu hendak mempengaruhi
mereka supaya mereka patuh kepada Allah dan beri amaran kepada mereka terhadap
apa-apa yang memusuhi Allah. Jika kamu berjuang di jalan Allah untuk mengajak
mereka menuju Allah, maka kamu akan jadi pejuang dan pahlawan di jalan Allah
dan akan diberi ganjaran seperti yang diberi kepada Nabi-nabi dan Rasul.
Nabi Muhammad SAW pernah bersabda kepada Saidina
Ali; "Jika Allah membimbing
seseorang melalui bimbingan kamu kepadaNya, maka itu terlebih baik kepada kamu
dari apa-apa sahaja di mana matahari terbit".
2. Mereka yang ada lidah tetapi tidak ada
hati.
Mereka bijak bercakap tetapi tidak melakukan
seperti yang dicakapkannya. Mereka mengajak manusia menuju Allah tetepi mereka
sendiri lari dari Allah. Mereka benci kepada maksiat yang dilakukan oleh orang
lain, tetapi mereka sendiri bergelumbang dalam maksiat itu. Mereka menunjuk
kepada orang lain yang mereka itu Soleh tetapi mereka sendiri melakukan
dosa-dosa yang besar. Bila mereka bersendirian, mereka bertindak selaku harimau
yang berpakaian. Inilah orang yang dikatakan kepada Nabi SAW. dengan sabda;
"Yang paling aku takuti
dan aku pun takut di kalangan umatku ialah orang alim yang jahat".
Kita berlindung dengan Allah daripada orang alim
seperti itu. Oleh itu, larilah dan jauhkan diri kamu dari orang-orang seperti
itu. Jika tidak, kamu akan terpengaruh oleh kata-kata manis yang bijak
berbicara itu dan api dosanya itu akan membakari kamu dan kekotoran hatinya
akan membunuh kamu.
3. Mereka yang mempunyai hati tetapi
tidak ada lidah.
Dia adalah seorang yang beriman. Allah telah
mendindingkan mereka daripada makhluk dan menggantungkan di keliling mereka
dengan tabirNya dan memberi mereka kesedaran tentang cacat cedera diri mereka.
Allah menyinari hati mereka dan menyedarkan mereka tentang kejahatan yang
timbul oleh kerana mencampuri urusan orang ramai dan kejahatan yang timbul oleh
kerana mencampuri orang ramai dan kejahatan kerana bercakap banyak.
Mereka
ini tahu bahawa keselamatan itu terletak dalam "DIAM" dan bekhalwat.
Nabi SAW. pernah bersabda;
"Barangsiapa yang diam akan mencapai
keselamatan".
Sabda baginda lagi;
"Sesungguhnya berkhidmat
kepada Allah itu terdiri dari sepuluh bahagian, sembilan darinya terletak dalam
diam".
Oleh itu mereka dalam golongan jenis ini adalah
Wali Allah dalam rahsiaNya, dilindungi dan diberi keselamatan, bijaksana, rakan
Allah dan diberkati dengan keredhoan dan segala yang baik akan diberikan kepada
mereka.
Oleh itu, kamu hendaklah berkawan dengan mereka dan
bergaul dengan orang-orang ini dan diberi pertolongan kepada mereka. Jika kamu
berbuat demikian, kamu akan dikasihi Allah dan kamu akan dipilih dan dimasukkan
dalam golongan mereka yang menjadi Wali Allah dan hamba-hambanya yang Soleh.
4. Mereka yang diajak ke dunia tidak nampak (Alam
Ghaib), diberi pakaian kemuliaan seperti dalam sabda Nabi SAW;
'Barangsiapa yang belajar dan
mengamalkan pelajarannya dan mengajarkan orang yang lain, maka akan diajak ke
dunia ghaib dan permuliakan".
Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu
Ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang
amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberi
kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka hampir hampir
kepadaNya. Allah akan membimbing mereka dan membawa mereka ke sisiNya. Hati
mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang
tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuanNya dan pengajak manusia
kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu
"Orang-orang Allah". Mereka mendapat bimbingan yang benar dan yang
mengesahkan kebenaran orang lain.
Mereka ibarat timbalan Nabi-nabi dan Rasul-rasul
Allah. Mereka sentoasa mendapat taufiq dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung.
Orang yang dalam golongan ini adalah pada peringkat terakhir atau puncak
kemanusian dan tidak ada Maqam di atas ini kecuali Kenabian.
Oleh itu hati-hatilah kamu supaya jangan memusuhi
dan membantah orang-orang seperti ini dan dengarlah cakap atau nasihat mereka.
Oleh itu, keselamatan terletak dalam apa yang dicakapkan oleh mereka dan dalam
berdamping dengan mereka, kecuali mereka yang Allah beri kuasa dan pertolongan
terhadap hak dan keampunanNya.
Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani
telah bahagikan manusia itu kepada empat golongan. Sekarang terpulanglah kepada diri kita untuk memeriksa diri sendiri jika
kita mempunyai fikiran. Dan selamatkanlah diri kita jika ingin keselamatan.
Mudah-mudahan Allah membimbing kita menuju kepada apa yang dikasihiNya dan
diredhaiNya, dalam dunia ini dan di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment